Friday 28 September 2012

Pra-Bajet 2013: Harapan & Pandangan

Menjelang pembentangan Bajet 2013 oleh YAB Menteri Kewangan pada 28 September 2013, Biro Profesional telah mewawancara wakil dari Pusat Ekonomi Sektor Awam Institut Tadbiran Awam Negara, Ketua Penolong Pengarah Dr. Norazman Bin Ismail bagi berkongsi pandangan dan perspektif beliau sebagai penjawat awam, ahli ekonomi dan rakyat Malaysia tentang bajet yang seharusnya menentukan arah tuju pembangunan negara secara menyeluruh dari segenap dimensi. 

Berikut adalah dapatan dari wawancara berkenaan untuk dikongsi bersama ASTRA dan para pembaca.


1.         Apakah yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia dalam Bajet 2013?

Bajet yang menuju ke arah “Balanced Budget”. Di samping memberikan tumpuan utama kepada pembangunan masyarakat luar bandar.

2.       Seperti kita maklum, harga minyak merupakan satu isu sensitif di kalangan rakyat. Pada masa ini Kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel dan manfaatnya dinikmati oleh semua. Oleh kerana ianya menelan perbelanjaan yg bnyk, apakah ada langkah yg lebih berkesan supaya subsidi tersebut hanya dinikmati oleh golongan yg memerlukan?

Petrol dan disel merupakan salah satu bahan utama yang digunakan dalam menjana perkembangan ekonomi negara baik bagi pihak individu dan syarikat-syarikat. Dari sudut ekonomi, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Sekiranya sumber ekonomi ini diuruskan dengan baik dan dibelanjakan secara berhemah, Kerajaan tidak akan menghadapi masalah dalam meneruskan subsidi petrol dan disel kepada semua rakyat (termasuk syarikat-syarikat), kerana ianya akan mendatangkan keuntungan kepada Kerajaan dalam bentuk cukai dan sebagainya dalam jangka panjang.

3.       Seperti yang kita ketahui pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat, sehubungan itu dijangka, kerajaan akan memilih belanjawan pilihanraya berbentuk populis. Pada pendapat tuan apakah sektor dan golongan sasaran kerajaan di dalam belanjawan kali ini sekiranya kerajaan memilih belanjawan populis?

Belanjawan populis atau sebagainya merupakan terma-terma yang digunakan sahaja. Apa yang penting adalah Belanjawan yang dibentangkan haruslah dapat meningkatkan kemapanan (sustainability) ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat masa kini dan generasi akan datang.

4.   Fitch rating dan standard & poor pada bulan ogos dan september 2012 telah memberikan amaran bahawa kredit rating negara akan menurun (downgrade) sekiranya negara tidak melaksanakan reformasi fiskal. Apakah strategi dan polisi yang sesuai bagi mengurangkan hutang negara dan pada masa yang sama dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dlm keadaam ekonomi dunia yang sedang berhadapan dengan masalah krisis hutang di eropah dan kelembapan ekonomi di amerika syarikat?

Kerajaan sewajarnya mengambil langkah-langkah untuk mengawal peningkatan jumlah hutang awam melalui perbelanjaan berhemah di samping mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keluaran negara melalui insentif-insentif ekonomi. Perlu kita fahami, hutang awam merupakan angka sebenar (faktor tetap), manakala GDP merupakan angka anggaran yang tidak menentu dan pasti (faktor berubah). Oleh itu, strategi Kerajaan seharusnya menumpukan pengurusan atau pengawalan faktor tetap yang lebih mudah dikawal agar tidak berlakunya kedudukan hutang awam yang mismatch dengan GDP dan meyebakan country rating negara jatuh. Sekiranya ini berlaku, ia akan menyukarkan untuk memperolehi modal atau kos pemerolehan modal akan menjadi mahal bagi Kerajaan untuk membangunkan negara pada masa akan datang.   

5.       Pakatan rakyat pada 26 september 2012  telah membentangkan belanjawan bayangan yang bertajuk "ekonomi rakyat negara berkat" bagi tahun 2013. Apakah pandngan tuan mengenai belanjawan yang diusulkan pakatan rakyat? Adakah belanjawan ini relistik?

Belanjawan yang dibentangkan ada mempunyai kelebihan dan kekurangan. Apa yang pentingnya ialah kita perlu melihat samada Belanjawan yang dibentangkan oleh PKR lebih memberi manfaat atau tidak kepada rakyat berbanding dengan Kerajaan yang memerintah pada masa sekarang. Satu perkara yang perlu ditekankan bagi mana-mana pihak ialah perbelanjaan berhemah dan tiada pembaziran. Bagi memastikan ini dapat dicapai, tidak lain, sistem pentadbiran Kerajaan mestilah telus dan adil bagi mengelak sebarang salah laku dalam mengurus kewangan negara.

6.      Malaysia kini sedang berhadapan dgn masalah middle income trap di mana negara tidak dpt bersaing dgn negara yg mempunyai kos buruh yg rendah spt china, india, vietnam dan indonesia...pd masa yg sama negara juga tidak mampu bersaing dgn negara berteknologi tinggi seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat...apakah kaedah yg terbaik bg melonjak negara ke arah negara berpendapatan tinggi?

Mmmmm……bagi gaji kakitangan awam naik gaji banyak-banyak…..he…..he……!!! jadilah kita masyarakat berpendapatan tinggi!!!! Kita selalu menekankan mengenai pendapatan negara dan masyarakat tetapi lupa kepada faktor kesejahteraan. Kesejahteraan negara dan rakyat tidak hanya ditentukan oleh kedudukan pendapatan tetapi oleh pelbagai faktor seperti keselamatan, keselesaan, kegembiraan, keadilan dan sebagainya. Contohnya, pendapatan meningkat tidak bermakna sekiranya purchasing power negara dan masyarakat menurun. “Middle income”?, should be alright!!!, sekiranya kesejahteraan rakyat dibela.

7.         Perlbagai inisiatif telah diberikan bagi menarik tenaga pakar negara yg berada di luar negara melalui  RETURNING EXPERT PROGRAMME..namun, kita tidak mempunyai program yg spesifik bg mengekalkan tenaga pakar sedia ada di negara. Contoh klasik di mana bekas CEO PETRONAS Tan Sri Hassan Merican kini telah pun berkhidmat dgn syarikat di singapura. Apakah pandangan tuan terhadap isu berkenaan?

Setiap bidang ekonomi dan syarikat-syarikat, terutamanya syarikat-syarikat Kerajaan perlu diuruskan oleh tenaga professional agar ianya diuruskan secara terbaik mengikut standard best practices bagi mencapai objektif yang telah digariskan. Faktor-faktor politik tidak seharusnya dibiarkan menular ke dalam pengurusan syarikat kerana agenda politik selalunya tidak sama dengan agenda syarikat.

8.         Dasar gaji minimum akan menyebabkan kos tambahan dan membebankan kepada firma khusus SME. Adakah dgn pelaksanaan dasar gaji minimum boleh menyebabkan syarikat tempatan tidak lagi kompetetif di pasaran antarbangsa? Apakah kaedah terbaik yg boleh dilaksanakan oeh Kerajaan bagi membantu syarikat tempatan beralih daripada penggunaan buruh kurang mahir kepada penggunaan teknologi tinggi?

Penentuan gaji minimum dibuat mengikut kedudukan dan kemampuan ekonomi sesebuah negara. Ini akan mengujudkan persaingan yang sihat dalam negara kerana faktor kos buruh diletakkan at par kepada semua pihak industri. Mengenai persaingan di peringkat antarabangsa, ia tidak hanya bergantung kepada faktor buruh semata-mata. Ianya bergantung kepada pelbagai faktor seperti kualiti, keyakinan, market niche, persepsi dan sebagainya. Kerajaan perlu menumpukan untuk memberi galakan-galakan dalam pelbagai faktor kepada industri-industri tempatan suapaya syarikat tempatan dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

9.         Negara masih lagi bergantung dengan hasil petroleum iaitu menyumbang kira2 40% sumber pendapatan negara. Salah satu cara yg dikatakan dpt meningkatkan hasil negara adalah dgn memperkenalkan GST, apakah kaedah lain yg boleh dilaksanakan oleh kerajaan bg mengurangkan kebergantungan hasil petroleum selain melaksanakan GST?

Negara kita dikatakan mempunyai “narrow based revenue”. Ini menjadikan negara amat fragile terhadap sebarang international economic shock yang berlaku. GST merupakan suatu kaedah yang dilaksanakan di kebanyakan negara barat untuk menjana hasil Kerajaan. Malaysia sebagaimana kita ketahui adalah berbeza dengan negara-negara di barat dan kaya dengan pelbagai sumber ekonomi yang boleh dimajukan untuk menjana pendapatan Kerajaan tanpa memperkenalkan GST. Pelaksanaan GST mungkin sedikit sebanyak akan membebankan perbelanjaan rakyat terutamanya bagi rakyat berpendapatan rendah, apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang yang masih tidak menentu.



Biro Profesional akan turut mendapatkan pandangan pakar Ekonomi INTAN yang lain selepas pembentangan Bajet 2013 diadakan, nantikan.....