Friday 28 September 2012

Pra-Bajet 2013: Harapan & Pandangan

Menjelang pembentangan Bajet 2013 oleh YAB Menteri Kewangan pada 28 September 2013, Biro Profesional telah mewawancara wakil dari Pusat Ekonomi Sektor Awam Institut Tadbiran Awam Negara, Ketua Penolong Pengarah Dr. Norazman Bin Ismail bagi berkongsi pandangan dan perspektif beliau sebagai penjawat awam, ahli ekonomi dan rakyat Malaysia tentang bajet yang seharusnya menentukan arah tuju pembangunan negara secara menyeluruh dari segenap dimensi. 

Berikut adalah dapatan dari wawancara berkenaan untuk dikongsi bersama ASTRA dan para pembaca.


1.         Apakah yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia dalam Bajet 2013?

Bajet yang menuju ke arah “Balanced Budget”. Di samping memberikan tumpuan utama kepada pembangunan masyarakat luar bandar.

2.       Seperti kita maklum, harga minyak merupakan satu isu sensitif di kalangan rakyat. Pada masa ini Kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel dan manfaatnya dinikmati oleh semua. Oleh kerana ianya menelan perbelanjaan yg bnyk, apakah ada langkah yg lebih berkesan supaya subsidi tersebut hanya dinikmati oleh golongan yg memerlukan?

Petrol dan disel merupakan salah satu bahan utama yang digunakan dalam menjana perkembangan ekonomi negara baik bagi pihak individu dan syarikat-syarikat. Dari sudut ekonomi, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Sekiranya sumber ekonomi ini diuruskan dengan baik dan dibelanjakan secara berhemah, Kerajaan tidak akan menghadapi masalah dalam meneruskan subsidi petrol dan disel kepada semua rakyat (termasuk syarikat-syarikat), kerana ianya akan mendatangkan keuntungan kepada Kerajaan dalam bentuk cukai dan sebagainya dalam jangka panjang.

3.       Seperti yang kita ketahui pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat, sehubungan itu dijangka, kerajaan akan memilih belanjawan pilihanraya berbentuk populis. Pada pendapat tuan apakah sektor dan golongan sasaran kerajaan di dalam belanjawan kali ini sekiranya kerajaan memilih belanjawan populis?

Belanjawan populis atau sebagainya merupakan terma-terma yang digunakan sahaja. Apa yang penting adalah Belanjawan yang dibentangkan haruslah dapat meningkatkan kemapanan (sustainability) ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat masa kini dan generasi akan datang.

4.   Fitch rating dan standard & poor pada bulan ogos dan september 2012 telah memberikan amaran bahawa kredit rating negara akan menurun (downgrade) sekiranya negara tidak melaksanakan reformasi fiskal. Apakah strategi dan polisi yang sesuai bagi mengurangkan hutang negara dan pada masa yang sama dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dlm keadaam ekonomi dunia yang sedang berhadapan dengan masalah krisis hutang di eropah dan kelembapan ekonomi di amerika syarikat?

Kerajaan sewajarnya mengambil langkah-langkah untuk mengawal peningkatan jumlah hutang awam melalui perbelanjaan berhemah di samping mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keluaran negara melalui insentif-insentif ekonomi. Perlu kita fahami, hutang awam merupakan angka sebenar (faktor tetap), manakala GDP merupakan angka anggaran yang tidak menentu dan pasti (faktor berubah). Oleh itu, strategi Kerajaan seharusnya menumpukan pengurusan atau pengawalan faktor tetap yang lebih mudah dikawal agar tidak berlakunya kedudukan hutang awam yang mismatch dengan GDP dan meyebakan country rating negara jatuh. Sekiranya ini berlaku, ia akan menyukarkan untuk memperolehi modal atau kos pemerolehan modal akan menjadi mahal bagi Kerajaan untuk membangunkan negara pada masa akan datang.   

5.       Pakatan rakyat pada 26 september 2012  telah membentangkan belanjawan bayangan yang bertajuk "ekonomi rakyat negara berkat" bagi tahun 2013. Apakah pandngan tuan mengenai belanjawan yang diusulkan pakatan rakyat? Adakah belanjawan ini relistik?

Belanjawan yang dibentangkan ada mempunyai kelebihan dan kekurangan. Apa yang pentingnya ialah kita perlu melihat samada Belanjawan yang dibentangkan oleh PKR lebih memberi manfaat atau tidak kepada rakyat berbanding dengan Kerajaan yang memerintah pada masa sekarang. Satu perkara yang perlu ditekankan bagi mana-mana pihak ialah perbelanjaan berhemah dan tiada pembaziran. Bagi memastikan ini dapat dicapai, tidak lain, sistem pentadbiran Kerajaan mestilah telus dan adil bagi mengelak sebarang salah laku dalam mengurus kewangan negara.

6.      Malaysia kini sedang berhadapan dgn masalah middle income trap di mana negara tidak dpt bersaing dgn negara yg mempunyai kos buruh yg rendah spt china, india, vietnam dan indonesia...pd masa yg sama negara juga tidak mampu bersaing dgn negara berteknologi tinggi seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat...apakah kaedah yg terbaik bg melonjak negara ke arah negara berpendapatan tinggi?

Mmmmm……bagi gaji kakitangan awam naik gaji banyak-banyak…..he…..he……!!! jadilah kita masyarakat berpendapatan tinggi!!!! Kita selalu menekankan mengenai pendapatan negara dan masyarakat tetapi lupa kepada faktor kesejahteraan. Kesejahteraan negara dan rakyat tidak hanya ditentukan oleh kedudukan pendapatan tetapi oleh pelbagai faktor seperti keselamatan, keselesaan, kegembiraan, keadilan dan sebagainya. Contohnya, pendapatan meningkat tidak bermakna sekiranya purchasing power negara dan masyarakat menurun. “Middle income”?, should be alright!!!, sekiranya kesejahteraan rakyat dibela.

7.         Perlbagai inisiatif telah diberikan bagi menarik tenaga pakar negara yg berada di luar negara melalui  RETURNING EXPERT PROGRAMME..namun, kita tidak mempunyai program yg spesifik bg mengekalkan tenaga pakar sedia ada di negara. Contoh klasik di mana bekas CEO PETRONAS Tan Sri Hassan Merican kini telah pun berkhidmat dgn syarikat di singapura. Apakah pandangan tuan terhadap isu berkenaan?

Setiap bidang ekonomi dan syarikat-syarikat, terutamanya syarikat-syarikat Kerajaan perlu diuruskan oleh tenaga professional agar ianya diuruskan secara terbaik mengikut standard best practices bagi mencapai objektif yang telah digariskan. Faktor-faktor politik tidak seharusnya dibiarkan menular ke dalam pengurusan syarikat kerana agenda politik selalunya tidak sama dengan agenda syarikat.

8.         Dasar gaji minimum akan menyebabkan kos tambahan dan membebankan kepada firma khusus SME. Adakah dgn pelaksanaan dasar gaji minimum boleh menyebabkan syarikat tempatan tidak lagi kompetetif di pasaran antarbangsa? Apakah kaedah terbaik yg boleh dilaksanakan oeh Kerajaan bagi membantu syarikat tempatan beralih daripada penggunaan buruh kurang mahir kepada penggunaan teknologi tinggi?

Penentuan gaji minimum dibuat mengikut kedudukan dan kemampuan ekonomi sesebuah negara. Ini akan mengujudkan persaingan yang sihat dalam negara kerana faktor kos buruh diletakkan at par kepada semua pihak industri. Mengenai persaingan di peringkat antarabangsa, ia tidak hanya bergantung kepada faktor buruh semata-mata. Ianya bergantung kepada pelbagai faktor seperti kualiti, keyakinan, market niche, persepsi dan sebagainya. Kerajaan perlu menumpukan untuk memberi galakan-galakan dalam pelbagai faktor kepada industri-industri tempatan suapaya syarikat tempatan dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

9.         Negara masih lagi bergantung dengan hasil petroleum iaitu menyumbang kira2 40% sumber pendapatan negara. Salah satu cara yg dikatakan dpt meningkatkan hasil negara adalah dgn memperkenalkan GST, apakah kaedah lain yg boleh dilaksanakan oleh kerajaan bg mengurangkan kebergantungan hasil petroleum selain melaksanakan GST?

Negara kita dikatakan mempunyai “narrow based revenue”. Ini menjadikan negara amat fragile terhadap sebarang international economic shock yang berlaku. GST merupakan suatu kaedah yang dilaksanakan di kebanyakan negara barat untuk menjana hasil Kerajaan. Malaysia sebagaimana kita ketahui adalah berbeza dengan negara-negara di barat dan kaya dengan pelbagai sumber ekonomi yang boleh dimajukan untuk menjana pendapatan Kerajaan tanpa memperkenalkan GST. Pelaksanaan GST mungkin sedikit sebanyak akan membebankan perbelanjaan rakyat terutamanya bagi rakyat berpendapatan rendah, apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang yang masih tidak menentu.



Biro Profesional akan turut mendapatkan pandangan pakar Ekonomi INTAN yang lain selepas pembentangan Bajet 2013 diadakan, nantikan.....





Monday 6 August 2012

10 Rahsia Tok Penghulu Astra

Setelah berusaha sekian lama dan menggunakan pelbagai cara yang rasional dan tidak, akhirnya Biro Profesional berjaya membuatkan Tok Penghulu kita, Afiq Redza Ahmad Pesal mendedahkan 10 rahsia menarik mengenai dirinya. Ikuti pendedahan eksklusif ini hanya di blogprofesionalastra.


1. Kasut paling mahal yang pernah dimiliki.


    - Kasut Clarks


2. Sifat diri yang paling dibenci.


    - Suka menangguhkan kerja


3. Sudahkah berpunya.


   - Masih mencari :-)


4. Hadiah paling istimewa pernah diterima.


   - Basikal pertama - 1995


5. Barang paling disayangi.


  - Basikal 'Cik Kiah'


6. Jangkaan mahu berumahtangga.


  - Tahun hadapan.


7. Artis paling diminati.


   - Tiada


8. Nasihat yang menjadi pegangan.


  - Banyakkan mendengar.


9. Impian hidup.


  - Mendaki puncak Everest 
  - Bertanding dalam Ironman Asia Pasifik


10. Kenangan manis sepanjang DPA.


  - Pengalaman turun dari Gunung Ledangn sambil membawa     rakan yang sakit.



Monday 30 July 2012

Temu Bual Eksklusif Bersama TP Pusat Pembangunan Profesional




Temu Bual Eksklusif Bersama Tuan Rospiagos bin Taha, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Profesional.

Oleh: Abdul Fatah bin Mohd Pilus
Exco Profesional Astra


Pada 24 Julai 2012 yang lalu, sekitar jam 5.00 petang saya sempat mengadakan sesi temu bual bersama Tuan Rospiagus bin Taha, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Profesional, INTAN Bukit Kiara. Tuan Rospiagus telah dilantik untuk menerajui pusat ini pada 12 Jun 2012 dan Astra merupakan ‘batch’ sulung di bawah kepimpinan beliau. Pertemuan selama hampir sejam tersebut mengupas pelbagai isu dan topik yang cukup menarik. Berikut merupakan rakaman temu bual bersama beliau:

Biro Profesional (BP) : Pihak biro mengucapkan terima kasih kerana memberikan sedikit ruang kepada kami untuk sesi temu bual ini.

Tuan Rospiagus Taha (RT) : Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi hadir untuk menemu bual saya.

BP: Pandangan tuan terhadap prestasi para peserta dan pengurusan DPA setakat ini?

RT: Secara umum saya melihat para peserta menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan. Pengurusan perjalanan DPA juga saya boleh katakan berada di landasan yang sepatutnya. Namun saya fikir masih punya ruang untuk ditambahbaik supaya ia benar-benar memberikan kesan dan mencapai falsafah dan hasrat yang kita telah tetapkan.


Hasrat, Misi dan Visi


BP: Seperti ramai yang sedia maklum, Tuan merupakan peneraju baru di Pusat  Pembangunan Profesional. Mungkin di bawah kepimpinan Tuan, ada hasrat dan misi yang ingin dicapai?

RT: Saya bermula di Jabatan Perkhidmatan Awam dan kebetulan saya banyak bekerja dengan Ketua Perkhidmatan. Jadi apabila saya ditempatkan di sini, sudah tentulah saya ingin mencuba sedaya mungkin bagi memenuhi hasrat Ketua Perkhidmatan kita. Ketua Perkhidmatan berkehendakkan supaya generasi pegawai muda ini lebih cemerlang dari semua aspek. Dalam konteks ini saya terjemahkannya kepada tiga aspek utama iaitu Attitude, Skill dan Knowledge (ASK). Jadi dalam setiap latihan dan kursus yang dijalankan di sini, ketiga-tiga komponen utama ini akan diberi penekanan. Untuk mencapai hasrat ini, saya harapkan Pusat Pembangunan Profesional mampu untuk melahirkan barisan pegawai muda yang benar-benar berkualiti dan tidak diragui kemampuan mereka. Saya percaya bahawa ramai di kalangan pegawai-pegawai muda ini akan memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan suatu masa nanti. Jadi saya mahu pastikan mereka benar-benar bersedia dan mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut. Saya tidak mahu nanti Pusat Pembangunan Profesional dipersalahkan sekiranya pegawai-pegawai ini tidak mencapai tahap yang diperlukan.


Perancangan

BP: Bagaimanakah perancangan untuk mencapai misi dan hasrat tersebut?

RT: Saya percaya untuk melahirkan pegawai yang cemerlang ialah dengan menyediakan program latihan yang efisien. Dalam tempoh masa yang ada ini kita telah menyediakan pelbagai program dan modul yang kita fikirkan sesuai dengan keperluan para peserta. Program yang diaturkan bukan sahaja merangkumi modul akademik tetapi turut melibat aktiviti luar. Modul-modul ini kita rangka sedemikian rupa supaya kita dapat lahirkan individu atau kompentensi yang seimbang. Kita menggunapakai konsep ‘blended aproach’ di mana semua bakat terbaik, pengalaman dan pengetahuan kita satukan bagi mencapai hasrat ini. Keperluan perkhidmatan hari ini memerlukan individu yang serba boleh serta cemerlang dari semua aspek. Justeru latihan yang dibentuk akan mengambil kira semua aspek ini dan diharapkan ia dapat memberikan impak semaksimum mungkin kepada para peserta.


Cabaran













BP: Cabaran yang dihadapi?

RT: Cabaran utama yang saya lihat ialah dari aspek pembinaan karakter (character building). Saya menyedari bahawa para peserta datang dari latar belakang pendidikan, keluarga dan pengalaman yang berbeza. Kebanyakan peserta juga telah berkhidmat hampir tiga tahun dan mereka ini telah mempunyai persepsi dan pandangan yang berbeza-beza. Justeru bukan tugas yang mudah untuk menyatukan kepelbagaian ini. Sebab sebolehnya saya mahu supaya PTD ini dilihat sebagai satu. Seperti yang saya selalu sebut, seboleh mungkin saya mahu mencipta DNA PTD itu sendiri. Sekali pandang orang sudah kenal dia itu PTD.


Kedua saya melihat cabaran dari sudut masa. Tempoh enam bulan sebenarnya amat singkat dalam pembentukan karakter. Jika dahulu seseorang itu harus melalui sekurang-kurangnya 11 bulan latihan sebelum bergelar seorang PTD. Namun saya tidak mahu berkompromi dalam soal kualiti. Walaupun tempoh latihan sekarang ini lebih singkat, tetapi hasil dan outputnya kita akan pastikan paling tidak sama kualitinya dengan latihan selama 11 bulan. Ini amat penting. Kerana itu dalam setiap modul yang kita guna atau bangunkan, pendekatan ‘blended approach’ ini kita gunakan. Saya yakin melalui cara ini hasrat tersebut dapat dicapai.
Ketiga cabarannya lebih tertumpu kepada aspek kos. Jumlah peruntukkan untuk seorang peserta bagi tempoh enam bulan mencecah hampir 25 ribu ringgit. Sudah tentu jika tempoh kursus dipanjangkan kos pengurusan turut akan bertambah. Ini tentunya akan membebankan kerajaan. Oleh itu kita perlu mencari jalan keluar terbaik bagi mengatasi masalah ini sekiranya kita benar-benar serius untuk memanjangkan tempoh kursus DPA.

Cabaran seterusnya yang saya lihat perlu dihadapi ialah dari sudut penerimaan peserta dan penerimaan Ketua-ketua Jabatan. Isu yang sering dibangkitkan ialah apabila pengambilan secara besar-besaran ini dibuat, ia akan menyebabkan kekosongan di jabatan dan banyak kerja akan tertangguh. Hal ini sering menimbulkan rungutan dari jabatan-jabatan. Kita terpaksa memilih sama ada untuk memenuhi tanggungjawab untuk menjalankan tugas atau pun tanggungjawab latihan yang perlu dipenuhi.

 Isu generasi kini yang lebih terbuka dan kritikal turut menjadi cabaran yang saya lihat perlu diberi perhatian. Generasi kini saya lihat lebih berinformasi, pantas dan bertenaga. Justeru latihan yang diberikan juga perlu seiring dengan cara fikir mereka. Jika tidak latihan yang diberikan akan berlaku penolakan serta kesan yang minimum. Kita seharusnya menjadikan DPA ini lebih dinamik dan sesuai dengan generasi hari ini.


Pembaharuan dan Modenisasi


BP: Di bawah kepimpinan baru ini, mungkin Tuan boleh berkongsi mengenai pembaharuan dan perubahan yang ingin dibawa?

RT: Saya secara peribadi tidak menafikan bahawa sistem yang diguna pakai sekarang sudah lama dibangunkan dan telah terbukti keberkesanannya. Justeru di peringkat awal ini saya akan meneruskan apa yang telah dijalankan sebelum ini tetapi mungkin ada sedikit modifikasi kepada kaedah dan pendekatan yang digunakan. Saya lebih cenderung kepada pendekatan ‘adult learning’ di mana para peserta dilatih sebagai orang dewasa. Melatih orang dewasa adalah berbeza jika dibandingkan dengan melatih pelajar sekolah atau pelajar universiti. Dalam kursus DPA ini kebanyakan peserta boleh dikategorikan sebagai golongan dewasa. Oleh itu cara latih dan modul yang digunakan juga perlu berbeza. Inilah uniknya DPA.
Saya juga percaya kepada latihan melalui pembangunan kendiri. Maksud saya peserta juga diberi kebebasan kreativiti untuk melaksanakan program dan aktiviti mereka sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada Penyelaras Program atau fasilitator. Ini akan menjadikan kursus ini lebih menarik dan dinamik. Program-program yang dicadangkan itu perlulah memenuhi keperluan dan mempunyai kesan yang tinggi (high impact programme).
Selain itu di bawah kepimpinan saya ini, isu ketelusan dan transparensi amat saya tekankan. Saya mahu semua peserta faham setiap falsafah dan logik di sebalik setiap modul yang dijalankan. Sekiranya para peserta tidak faham dan kami di Pusat Pembangunan Profesional tidak telus, saya khuatir akan berlaku penolakan di kalangan peserta. Seboleh mungkin perkara ini saya cuba elakkan. Saya mahu kejayaan itu dinikmati bersama baik di pihak peserta mahupun Pusat Pembangunan Profesional.


High Impact Programmed


BP: Saya sering mengikuti ucapan Tuan sejak mula memasuki perkhidmatan sehinggalah sekarang. Tuan kerap menyebut mengenai high impact programmed. Boleh tuan jelaskan apa yang dimaksudkan dengan program berimpak tinggi ini?

RT: High Impact Programmed atau program berimpak tinggi ini saya boleh umpamakan sebagai program yang mampu memberikan kesan secara menyeluruh. Hari ini saya lihat penilaian kebanyakan program-program kita lebih terarah kepada output. Tetapi bagi saya apa yang lebih penting ialah proses dan impak. Kita mungkin boleh menjalankan program-program yang normal tetapi pendekatan dan kaedah itu perlu berbeza. Kita perlu berfikir di luar kotak. Contoh yang mudah, sekiranya kita ingin mengadakan ceramah mengenai sesuatu isu atau topik, maka penceramahnya mestilah individu yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut. Barulah ia akan memberikan impak yang maksimum. Impak itu pula tidak hanya dalam bentuk satu hala, tetapi pelbagai hala. Ini yang maksudkan program berimpak tinggi.


Harapan

BP: Untuk soalan terakhir, mungkin tuan ingin berkongsi harapan terhadap para peserta DPA?
RT: Harapan saya mudah sahaja. Saya harapan semua peserta dapat menyahut cabaran saya untuk menjadi individu yang terbaik dan selepas kursus ini tamat, benar-benar dapat menjadi pelapis yang bersedia untuk menggantikan generasi terdahulu. Saya mahu para peserta membuktikan keupayaan mereka dan membina kejayaan secara bersama.

BP: Pihak Biro Profesional merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian tuan untuk ditemu bual pada petang ini.






Friday 20 July 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak


Seluruh warga keluarga Biro Profesional mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al mubarak. Semoga ia akan membawa seribu rahmat dan keberkatan untuk kita semua.