Temu Bual Eksklusif Bersama Tuan
Rospiagos bin Taha, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Profesional.
Oleh: Abdul Fatah bin Mohd Pilus
Exco Profesional Astra
Pada 24 Julai 2012 yang lalu,
sekitar jam 5.00 petang saya sempat mengadakan sesi temu bual bersama Tuan
Rospiagus bin Taha, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Profesional, INTAN
Bukit Kiara. Tuan Rospiagus telah dilantik untuk menerajui pusat ini pada 12
Jun 2012 dan Astra merupakan ‘batch’ sulung di bawah kepimpinan beliau.
Pertemuan selama hampir sejam tersebut mengupas pelbagai isu dan topik yang
cukup menarik. Berikut merupakan rakaman temu bual bersama beliau:
Biro Profesional (BP) : Pihak biro
mengucapkan terima kasih kerana memberikan sedikit ruang kepada kami untuk sesi
temu bual ini.
Tuan Rospiagus Taha (RT) : Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi hadir
untuk menemu bual saya.
BP: Pandangan tuan terhadap prestasi
para peserta dan pengurusan DPA setakat ini?
RT: Secara umum saya melihat para peserta menunjukkan prestasi yang baik
dan memuaskan. Pengurusan perjalanan DPA juga saya boleh katakan berada di
landasan yang sepatutnya. Namun saya fikir masih punya ruang untuk ditambahbaik
supaya ia benar-benar memberikan kesan dan mencapai falsafah dan hasrat yang
kita telah tetapkan.
Hasrat, Misi dan Visi
BP: Seperti ramai yang sedia maklum,
Tuan merupakan peneraju baru di Pusat
Pembangunan Profesional. Mungkin di bawah kepimpinan Tuan, ada hasrat
dan misi yang ingin dicapai?
RT: Saya bermula di Jabatan Perkhidmatan Awam dan kebetulan saya banyak
bekerja dengan Ketua Perkhidmatan. Jadi apabila saya ditempatkan di sini, sudah
tentulah saya ingin mencuba sedaya mungkin bagi memenuhi hasrat Ketua
Perkhidmatan kita. Ketua Perkhidmatan berkehendakkan supaya generasi pegawai
muda ini lebih cemerlang dari semua aspek. Dalam konteks ini saya
terjemahkannya kepada tiga aspek utama iaitu Attitude, Skill dan Knowledge
(ASK). Jadi dalam setiap latihan dan kursus yang dijalankan di sini,
ketiga-tiga komponen utama ini akan diberi penekanan. Untuk mencapai hasrat
ini, saya harapkan Pusat Pembangunan Profesional mampu untuk melahirkan barisan
pegawai muda yang benar-benar berkualiti dan tidak diragui kemampuan mereka.
Saya percaya bahawa ramai di kalangan pegawai-pegawai muda ini akan memegang
jawatan-jawatan penting dalam kerajaan suatu masa nanti. Jadi saya mahu
pastikan mereka benar-benar bersedia dan mampu untuk memikul tanggungjawab
tersebut. Saya tidak mahu nanti Pusat Pembangunan Profesional dipersalahkan
sekiranya pegawai-pegawai ini tidak mencapai tahap yang diperlukan.
Perancangan
BP: Bagaimanakah perancangan untuk
mencapai misi dan hasrat tersebut?
RT: Saya percaya untuk melahirkan pegawai yang cemerlang ialah dengan
menyediakan program latihan yang efisien. Dalam tempoh masa yang ada ini kita
telah menyediakan pelbagai program dan modul yang kita fikirkan sesuai dengan
keperluan para peserta. Program yang diaturkan bukan sahaja merangkumi modul
akademik tetapi turut melibat aktiviti luar. Modul-modul ini kita rangka
sedemikian rupa supaya kita dapat lahirkan individu atau kompentensi yang
seimbang. Kita menggunapakai konsep ‘blended
aproach’ di mana semua bakat terbaik, pengalaman dan pengetahuan kita
satukan bagi mencapai hasrat ini. Keperluan perkhidmatan hari ini memerlukan
individu yang serba boleh serta cemerlang dari semua aspek. Justeru latihan
yang dibentuk akan mengambil kira semua aspek ini dan diharapkan ia dapat
memberikan impak semaksimum mungkin kepada para peserta.
Cabaran
BP: Cabaran yang dihadapi?
RT: Cabaran utama yang saya lihat ialah dari aspek pembinaan karakter (character building). Saya menyedari
bahawa para peserta datang dari latar belakang pendidikan, keluarga dan
pengalaman yang berbeza. Kebanyakan peserta juga telah berkhidmat hampir tiga
tahun dan mereka ini telah mempunyai persepsi dan pandangan yang berbeza-beza.
Justeru bukan tugas yang mudah untuk menyatukan kepelbagaian ini. Sebab
sebolehnya saya mahu supaya PTD ini dilihat sebagai satu. Seperti yang saya
selalu sebut, seboleh mungkin saya mahu mencipta DNA PTD itu sendiri. Sekali
pandang orang sudah kenal dia itu PTD.
Kedua saya melihat cabaran dari sudut masa. Tempoh enam bulan sebenarnya
amat singkat dalam pembentukan karakter. Jika dahulu seseorang itu harus
melalui sekurang-kurangnya 11 bulan latihan sebelum bergelar seorang PTD. Namun
saya tidak mahu berkompromi dalam soal kualiti. Walaupun tempoh latihan
sekarang ini lebih singkat, tetapi hasil dan outputnya kita akan pastikan
paling tidak sama kualitinya dengan latihan selama 11 bulan. Ini amat penting.
Kerana itu dalam setiap modul yang kita guna atau bangunkan, pendekatan ‘blended approach’ ini kita gunakan. Saya
yakin melalui cara ini hasrat tersebut dapat dicapai.
Ketiga cabarannya lebih tertumpu kepada aspek kos. Jumlah peruntukkan untuk
seorang peserta bagi tempoh enam bulan mencecah hampir 25 ribu ringgit. Sudah
tentu jika tempoh kursus dipanjangkan kos pengurusan turut akan bertambah. Ini
tentunya akan membebankan kerajaan. Oleh itu kita perlu mencari jalan keluar
terbaik bagi mengatasi masalah ini sekiranya kita benar-benar serius untuk
memanjangkan tempoh kursus DPA.
Cabaran seterusnya yang saya lihat perlu dihadapi ialah dari sudut
penerimaan peserta dan penerimaan Ketua-ketua Jabatan. Isu yang sering
dibangkitkan ialah apabila pengambilan secara besar-besaran ini dibuat, ia akan
menyebabkan kekosongan di jabatan dan banyak kerja akan tertangguh. Hal ini
sering menimbulkan rungutan dari jabatan-jabatan. Kita terpaksa memilih sama
ada untuk memenuhi tanggungjawab untuk menjalankan tugas atau pun tanggungjawab
latihan yang perlu dipenuhi.
Isu generasi kini yang lebih terbuka
dan kritikal turut menjadi cabaran yang saya lihat perlu diberi perhatian.
Generasi kini saya lihat lebih berinformasi, pantas dan bertenaga. Justeru
latihan yang diberikan juga perlu seiring dengan cara fikir mereka. Jika tidak
latihan yang diberikan akan berlaku penolakan serta kesan yang minimum. Kita
seharusnya menjadikan DPA ini lebih dinamik dan sesuai dengan generasi hari
ini.
Pembaharuan dan Modenisasi
BP: Di bawah kepimpinan baru ini,
mungkin Tuan boleh berkongsi mengenai pembaharuan dan perubahan yang ingin
dibawa?
RT: Saya secara peribadi tidak menafikan bahawa sistem yang diguna pakai
sekarang sudah lama dibangunkan dan telah terbukti keberkesanannya. Justeru di
peringkat awal ini saya akan meneruskan apa yang telah dijalankan sebelum ini
tetapi mungkin ada sedikit modifikasi kepada kaedah dan pendekatan yang
digunakan. Saya lebih cenderung kepada pendekatan ‘adult learning’ di mana para peserta dilatih sebagai orang dewasa.
Melatih orang dewasa adalah berbeza jika dibandingkan dengan melatih pelajar
sekolah atau pelajar universiti. Dalam kursus DPA ini kebanyakan peserta boleh
dikategorikan sebagai golongan dewasa. Oleh itu cara latih dan modul yang
digunakan juga perlu berbeza. Inilah uniknya DPA.
Saya juga percaya kepada latihan melalui pembangunan kendiri. Maksud saya
peserta juga diberi kebebasan kreativiti untuk melaksanakan program dan
aktiviti mereka sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada Penyelaras
Program atau fasilitator. Ini akan menjadikan kursus ini lebih menarik dan
dinamik. Program-program yang dicadangkan itu perlulah memenuhi keperluan dan
mempunyai kesan yang tinggi (high impact
programme).
Selain itu di bawah kepimpinan saya ini, isu ketelusan dan transparensi
amat saya tekankan. Saya mahu semua peserta faham setiap falsafah dan logik di
sebalik setiap modul yang dijalankan. Sekiranya para peserta tidak faham dan
kami di Pusat Pembangunan Profesional tidak telus, saya khuatir akan berlaku
penolakan di kalangan peserta. Seboleh mungkin perkara ini saya cuba elakkan.
Saya mahu kejayaan itu dinikmati bersama baik di pihak peserta mahupun Pusat
Pembangunan Profesional.
High Impact Programmed
BP: Saya sering mengikuti ucapan
Tuan sejak mula memasuki perkhidmatan sehinggalah sekarang. Tuan kerap menyebut
mengenai high impact programmed.
Boleh tuan jelaskan apa yang dimaksudkan dengan program berimpak tinggi ini?
RT: High Impact Programmed atau
program berimpak tinggi ini saya boleh umpamakan sebagai program yang mampu
memberikan kesan secara menyeluruh. Hari ini saya lihat penilaian kebanyakan
program-program kita lebih terarah kepada output. Tetapi bagi saya apa yang
lebih penting ialah proses dan impak. Kita mungkin boleh menjalankan program-program
yang normal tetapi pendekatan dan kaedah itu perlu berbeza. Kita perlu berfikir
di luar kotak. Contoh yang mudah, sekiranya kita ingin mengadakan ceramah
mengenai sesuatu isu atau topik, maka penceramahnya mestilah individu yang
benar-benar pakar dalam bidang tersebut. Barulah ia akan memberikan impak yang
maksimum. Impak itu pula tidak hanya dalam bentuk satu hala, tetapi pelbagai
hala. Ini yang maksudkan program berimpak tinggi.
Harapan
BP: Untuk soalan terakhir, mungkin
tuan ingin berkongsi harapan terhadap para peserta DPA?
RT: Harapan saya mudah sahaja. Saya harapan semua peserta dapat menyahut
cabaran saya untuk menjadi individu yang terbaik dan selepas kursus ini tamat,
benar-benar dapat menjadi pelapis yang bersedia untuk menggantikan generasi
terdahulu. Saya mahu para peserta membuktikan keupayaan mereka dan membina
kejayaan secara bersama.
BP: Pihak Biro Profesional
merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian tuan untuk ditemu bual pada petang
ini.