Monday, 2 July 2012

Mendepani Perubahan, Mencorak Masa Depan



Oleh: Abdul Fatah bin Mohd Pilus


Salam Astra untuk semua. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayangnya kita bersua di medan ini pula. Biro Profesional mengorak setapak lagi ke hadapan dengan mewujudkan satu lagi medium untuk berkongsi maklumat dan idea untuk semua. Terima kasih kepada saudara Kamil Hafidh yang sudi menjadikan blog ini sebagai satu realiti. Mungkin ramai yang tidak sedar dan tahu tentang peranan dan misi Biro Profesional pada kali ini.

Mengangkat moto ' Mendepani Perubahan, Mencorak Masa Depan', Biro Profesional meletakkan harapan dan misi untuk membawa perubahan terutamanya dalam aspek cara fikir dan sikap. Menyedari cabaran yang harus digalas oleh penjawat awam kini, maka cara fikir dan sikap ini amat penting dalam mendepani cabaran yang semakin sukar. Soalnya bagaimana hasrat dan matlamat ini ingin dicapai?

Biro Profesional dalam menggerakkan misi tersebut secara tuntas telah merancang beberapa aktiviti utama dan sampingan untuk rakan-rakan semua. Antara lain pendekatan yang digunakan ialah dengan menjemput beberapa tokoh penceramah dari pelbagai era untuk berkongsi pengalaman dan idea mengenai perkhidmatan awam kini. Selain itu Biro Profesional juga mengambil pendekatan dengan mengadakan program wacana serta diskusi melibatkan barisan kepimpinan muda yang banyak memberikan impak kepada sosiopolitik negara.  Dari satu sudut yang lain, Biro Profesional telah menyediakan medium untuk rakan-rakan berkongsi idea dan pengalaman melalui penulisan di blog dan ruangan perbincangan di twitter serta facebook.Melalui semua ini diharapkan usaha untuk membawa perubahan cara fikir dan sikap ini mampu dicapai.

Memetik ucapan YBhg Tuan TKP Pusat Pembangunan Profesional 'we must always think out of the box',  Biro Profesional akan cuba mencari pendekatan terbaik dalam pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang supaya impaknya dapat dirasa semaksimum mungkin. Mungkin secara kasar aktiviti yang dirancang tampak biasa, namun ia akan dilaksanakan dalam perspektif yang berbeza. Itu harapan dan perancangannya. Semoga perancangan-perancangan ini akan mampu mencapai misi yang disasarkan.

Buat akhirnya, sudah tentu bagi mana-mana biro atau penganjur, apa yang paling penting ialah sokongan dan dokongan rakan-rakan atas apa jua aktiviti yang dirancang. Tanpa sokongan tersebut, apa juga yang dirancang akan lesu dan tidak bermaya. Kita harus satu tekad, satu semangat dan satu suara. Semoga sidang ini akan mampu mendepani perubahan yang akhirnya akan mencorakkan masa depan negara. Insyallah.

No comments:

Post a Comment