Wednesday, 11 July 2012

Bahasa: Roh & Jiwa

Oleh : Abdul Fatah bin Mohd Pilus
Exco Profesional Astra

Semalam, semasa makan malam, sempat kami berbual-bual mengenai Minggu Bahasa yang sedang diraikan minggu ini. Tampak bertenaga atur cara yang diatur oleh pihak Urus Setia. Danial paling rancak membutirkan bicara mengenai isu bahasa yang sekali sekala disampuk oleh Kamil dan Alfian. Tidak ketinggalan Zahir yang selalunya diam turut serta dengan dialek perak yang menambah lagi ceria perbualan petang itu. Perbualan semalam bagaikan persidangan meja bulat. Semuanya cuba merungkai nasib dan masa depan bahasa yang kita cintai ini. Masing-masing begitu bersemangat membuah idea yang segar.

Saya tertarik dengan pandangan Danial. Begitu bersemangat dia mengupas isu ini. Ceritanya, hari ini anak-anak muda lebih bangga dan megah bila berucap dalam bahasa mat saleh. Megah benar rasa mereka bila dapat bersuara dengan bahasa itu walaupun nahu dan makhrajnya umpama orang Perak cuba bercakap Kelantan. Itu belum lagi hal lagu dan filem yang begitu didewa-dewakan. Tambahnya lagi, tidak salah untuk kita bercakap atau menonton. Tetapi apabila sampai ke tahap mendewakan, itu yang menjadi masalah. Disinilah ujarnya betapa roh dan jiwa Bahasa Melayu itu hilang dan terus hilang.

Kamil yang sedari tadi hanya diam memerhati turut menyampuk. Tuturnya juga tampak bersemangat. Ya. Isu bahasa sememangnya sering meruntun sang pembincangnya. Tetapi sayang, semangat itu sukar sampai ke jiwa yang lain. Katanya, ibu bapa kini juga lebih gemar mendidik anak mereka menggunakan Bahasa Inggeris berbanding menanamakan rasa megah dan bangga dengan bahasa sendiri. Bukan menolak kepentingan Bahasa Inggeris, tetapi kenapa perlu sampai membuang bahasa ibunda sendiri. Kadangkala katanya, rasa meluat melihat ibu bapa yang membangkul sampahkan Bahasa Melayu ini. Pada mereka, dunia tidak memerlukan Bahasa Melayu. Cukup dengan mahir Bahasa Inggeris, semuanya beres. Idea songsang ini semakin hari semakin menjarah dalam kotak fikir orang-orang yang bergelar ibu dan bapa. 

Alfian segera menambah bila Kamil habis bersuara. Jepun, Korea, Jerman, semuanya maju dengan bahasa ibunda mereka. Siapa mahu mempelajari teknologi mereka, suka atau tidak, susah atau senang, belajarla bahasa ibundanya. Jika tidak, jangan harap mau berkongsi apa yang mereka ada. Tapi bezanya di sini, bahasa yang cukup indah  dan satu ketika pernah menjadi lingua franca di seantereo nusantara, mau dibakul sampahkan. 600 tahun bahasa ini pernah gemilang, cukup dengan syair dan sajaknya, lagu dan iramanya. India, Cina hatta British belajar bertutur bahasa kita. Tapi hari ini, kita sendiri mau menanamnya di teras bumi paling dalam. Ucapnya penuh rasa. Mungkin semangat Pak Dobi masih membara dalam dirinya.

Zahir yang diam sahaja tiba-tiba turut menyampuk. Tanyanya, apa yang kurang untuk bahasa ini menjadi bahasa ilmu? Rendah dah longgar sangatkah bahasa ini sehingga tidak mampu pergi lagi. Hanya sekadar untuk bahasa komunikasi harian? Universiti Kebangsaan Malaysia katanya, hari ini sudah mampu berdiri megah melahirkan profesional ulung dalam pelbagai bidang dengan menggunakan Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, saya akui, kerana saya belajar di sana. Semua kursus di UKM menggunakan Bahasa Melayu. Sambungnya lagi, ini bukti Bahasa Melayu bukan bahasa picisan. Ia bahasa yang punya roh dan jiwa untuk di sanjung dengan bangga.

Sembang mereka petang itu bukan perkara baru. Sudah lama perkara ini dibincangkan. Soalnya apa peranan kita? Apakah sekadar mengingati bahasa ini apabila ada acara atau program sahaja. Lebih menyedihkan, kita terpaksa mengadakan sambutan khusus bagi mengingat sejarah, lagu, irama, roh dan jiwa bahasa kita sendiri. Wajarkan bahasa yang kita sanjung ini dilayan sebegitu rupa. Persoalan ini saya tinggalkan untuk para pemikir dan idealis di luar sana. Memetik kata-kata Pak Samad ' biarlah Bahasa Melayu ini kita junjung, Bahasa Inggeris itu kita kelek' 

Sembang rancak petang itu terhenti bila Danial menunjuk ke satu lembaga sedang mengambil makanan. Siap dengan mantel dan kostum yang mengerikan. Oh rupanya English Night Sidang Cakra akan berlangsung. Kami segera mengemaskan sisa makanan, bangun dan meninggalkan meja bulat  menuju ke surau. Malam itu kami mau nikmati rasa seram dan cemas pementasan Sidang Cakra. Dalam Bahasa Inggeris...




2 comments:

  1. Terima kasih kerana mengutarakan satu artikel yang agak menarik pada pandangan saya sebagai seorang pensyarah bahasa.Kendatipun isu bahasa Melayu sudah lama diperdebatkan,namun setakat ini tiada perubahan drastik yang dilihat ke arah usaha memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri. Hakikatnya, bahasa Melayu belum menyerap sepenuhnya dalam sanubari rakyat Malaysia..Mengulas kembali petikan kata Presiden Linguistik Malaysia, Prof.Dr Nor Hashimah Jalaluddin "Bahasa Melayu seolah-olah MEREMPAT di tempat sendiri". Sikap acuh tak acuh dan memandang enteng terhadap isu ni, ditakuti akan terus menyebabkan bahasa Melayu dijadikan masakan dan ditelan dengan sesedap rasa, tanpa timbang rasa.

    ReplyDelete
  2. Pilu mendengarkan perumpamaan bahasa Melayu yang "merempat di tempat sendiri." Namun, benarlah seperti dikata, kebanyakan daripada kita pada hari ini melihat perdebatan bahasa di negara ini sebagai "zero-sum game." Hasilnya, kebanyakan pejuang bahasa Melayu yang fanatik memperkecil-kecilkan kepentingan bahasa Inggeris, dan "pejuang globalisasi" terus merempatkan bahasa Melayu yang indah milik bangsa kita. Kenapa tidak kedua-duanya, atau tiga (bahasa), atau empat (bahasa)? Walaupun begitu, kita ada tanggung jawab untuk memartabatkan bahasa Melayu, bermula dengan memperjuangkan kepentingan bahasa tersebut dalam diri kita sendiri.

    ReplyDelete