Thursday, 5 July 2012

Nisfu Syaaban



Oleh: Mohd Lokman Hakim bin Borhanudin
Biro Kerohanian ASTRA

Nisfu Syaaban merupakan peristiwa yang berlaku pada hari ke 15 dalam bulan Syaaban.  Hari Nisfu Syaaban merupakan hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun akan diangkat ke langit dan digantikan dengan buku catatan yang baru.catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru bermulasebaik sahaja masuk waktu Maghrib. Malam Nisfu Syaaban juga merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.  Rasullah s.a.w menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

Saiyidatina Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

“Rasulullah s.a.w telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda s.a.w dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda s.a.w berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.

Setelah Baginda s.a.w selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”


Antara amalan sunat lain termasuklah:

Pertama: Memperbanyakkan ibadah puasa sunat. Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada bulan yang mulia ini. Dengan memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan bagi kita sebelum memasuki bulan Ramadhan, iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Justeru, dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

Kedua: Memperbanyakkan amalan-amalan sunah lain seperti solat malam dan berzikir kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dalam bulan ini Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam memperbanyakkan amalan-amalan sunnah kerana pada bulan Sya’ban ini amal-amal akan diangkat di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sukacita dijelaskan di sini bahawa TIDAK ADA solat sunat khusus Nisfu Sya'ban seperti meniatkan, "Sahaja aku menunaikan solat sunat Nisfu Sya'ban dua rakaat kerana Allah Ta'ala", tetapi kita dituntut memperbanyakkan solat-solat sunat malam seperti tahajjud, solat sunat tasbih dan solat sunat taubat memohon keampunan Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memperbanyakkan doa dan munajat kepada-Nya.

Ketiga: Memastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan amal ibadah sebelum kita mengamalkannya. Ini bertepatan dengan dua syarat diterima suatu ibadah iaitu keikhlasan dalam melaksanakannya serta mengikut petunjuk Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Menetapkan amalan-amalan tertentu, dibaca pada waktu tertentu dengan fadhilat-fadhilat yang tertentu tanpa perintah daripada Allah dan Rasul-Nya merupakan satu perbuatan yang tidak dibenarkan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-An’aam: 153)

Selanjutnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala menegaskan lagi hal ini melalui firmanNya:
“Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya-fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (al-Rum: 30)

Keempat: Menghindarkan dan menjauhikan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia sehingga mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama Muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.

Semoga amal ibadah yang kita laksanakan bulan Sya'ban ini akan beroleh keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala seterusnya menjadi perintis dalam menuju kepada tetamu yang dinanti iaitu Ramadhan al-Mubarak. Segala taufiq dan hidayah kita pohonkan hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

No comments:

Post a Comment